Muhammad Bahyuddin Razali mencekik leher ref sebagai tanda tidak puas hati . |
Di sebalik pelbagai isu perpindahan pemain menghangatkan tempoh rehat saingan Liga Malaysia ketika ini, arena sukan tempatan dikejutkan insiden kurang bijak pemain Kolej Komuniti Kedah (KKK), Muhammad Bahyuddin Razali mencekik leher pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad. Daripada kejadian itu, kini timbul persoalan semangat kesukanan dan tahap profesional pemain muda di negara ini.
Rentetan insiden itu, Muhammad Bahyuddin dijangka berdepan tiga hukuman berat daripada tiga pihak berbeza – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), KKK dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). “Insiden kekasaran terhadap pengadil ini dirakam media dan ia tidak sewajarnya berlaku tetapi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpendapat ia tidak menggambarkan sikap keseluruhan pasukan terbabit. “Kami juga berpendapat institusi terbabit mampu menangani insiden ini. Jika bersalah, penganjur (KPT) akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan ditetapkan.
“Secara prinsipnya, penganjur tidak ada halangan sekiranya FAM mengenakan sebarang tindakan mengikut peraturan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SUKIPT, Dr Saharudin Ismail. Kelmarin, Bahyuddin bertindak ganas apabila tidak berpuas hati dengan keputusan Zulkifli melayangkan kad merah kepadanya selepas mengasari pemain lawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Baharom Putra.
Final Piala Menteri Pengajian Tinggi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dimenangi UKM dengan keputusan 2-1. Ketika dibuang padang, kedudukan terikat 1-1 dan KKK terpaksa bermain 10 orang sebelum tewas di masa tambahan.
Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut hadir menyaksikan perlawanan akhir kelmarin menyifatkan ia menjadi satu kebiasaan dalam perlawanan bola sepak tetapi ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan. “Pegawai perlawanan adalah dari FAM. Ini proses biasa dalam mana-mana pertandingan. Saya juga lihat ada beberapa perkara yang perlu dibaiki bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” kata Hamidin.
No comments:
Post a Comment