Sunday, 11 September 2011

Cermin mata vintaj


Seringkali kita melihat cermin mata hitam menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai aksesori tambahan, namun kini variasi kaca mata biasa juga mampu menonjolkan aura trendy kepada seseorang.
Sedikit masa dahulu, kaca mata berbingkai hitam dilihat berjaya mencetuskan fenomena di seluruh dunia dalam satu tempoh tertentu.

Ada juga yang mengambil langkah selamat dengan memilih bingkai kaca mata berona gelap agar ia mudah dipadankan dengan apa juga pakaian dan majlis.Namun kini, senario itu mula bertukar secara perlahan-lahan dan rata-rata penggemar fesyen lebih cenderung untuk menyarungkan kaca mata dengan bentuk dan warna yang unik.

Jenama terkenal, Alexender McQueen tampil dengan gaya berani dengan rekaan bingkai yang diukir kepada tiga lapisan seperti bentuk rama-rama dan gabungan warna-warna terang. Balenciaga pula mengambil pendekatan dengan menggabungkan stail cermin mata 50-an dan rekaan moden.Pemilihan struktur getah di bahagian kanta memberikan sentuhan unik dan impak kontemporari dengan pelbagai pilihan warna seperti merah jambu, coklat mutiara, putih susu dan hitam.

Untuk gaya seksi dan menggoda, cermin mata hitam dari jenama Hugo Boss tampil dengan rekaan kanta berbentuk lonjong dan diselitkan juga unsur logam nipis di bahagian sisi yang diukir dengan logo jenama tersebut. Dalam pada itu, turut menggunakan elemen rama-rama adalah Christian Dior yang menghiasi bentuk kanta untuk menyerlahkan gaya feminin dan sofistikated.

Adunan warna asal yang menyerupai kulit ‘harimau kumbang’ turut divariasikan dengan gabungan warna seperti merah dan hitam untuk menimbulkan aura klasik. Khusus untuk golongan muda yang bersifat dinamik dan urban, Gucci mempertaruhkan warna garang yang membaluti bahagian kanta di samping elemen garisan halus yang dihiasi dengan dua rona warna di sisi bingkai tersebut.

Warna pilihan Gucci dilihat cenderung untuk menimbulkan elemen vintaj dan gaya retro. Di sebalik cermin mata hitam dengan elemen warna garang dan bentuk yang unik, koleksi Max Mara selesa dengan gaya santai dan sederhana. Cermin mata tanpa bingkai menjadi taruhan Max Mara dengan rekaan yang terperinci dan ringkas dalam gabungan rona lembut seperti putih dan kuning keemasan dan coklat mutiara.


Keratan dari : Kosmo!




Tag; Cermin mata hitam, kaca mata, cermin mata hitam, cermin mata Ray ban, kaca mata Ray ban, cermin mata murah, cermin mata Gucci

No comments:

Post a Comment