CERITA-CERITA yang keluar daripada mulut pasangan suami isteri, Shuib  (Sepahtu) dan Siti Sarah Raisuddin sekarang bertemakan Uwais Alqarni.  Putera yang baru berusia 85 hari tapi sudah pandai ‘bersembang’. Si  comel itu juga membuatkan jadual tidur dan rehat pasangan yang bernikah  pada 26 Februari 2011 itu kelam-kabut.
Namun dialah jiwa raga buat Shuib dan Sarah. Rancak bercerita tentang  Uwais yang duduk elok di sebelah Shuib, Sarah membuka cerita bahawa  Uwais pernah terdiam daripada menangis ketika mendengarkan lagu Bruno  Mars ketika mereka menaiki kereta. Menurut Sarah, Uwais yang lahir pada 4  Disember lalu pasti menendang ketika mendengar petikan gitar.
Baru pulang daripada penggambaran filem Amir dan Lukman Pergi ke Laut  arahan Mamat Khalid, rindu seakan-akan berombak-ombak di dada Shuib.  Dikelek anak ke sana sini, anak yang sudah pandai mengengsot itu juga  sebenarnya tidak tahan panas.
“Dia anak yang baik. Jujurnya, saya tidak pandai dengan bayi sebab  saya anak tunggal. Tapi selepas mendapat Uwais, secara automatik  semuanya berjalan secara semula jadi. Saya mandikan dia dan berani  mendukung Uwais. Saya berbeza dengan Sarah yang sebelum ini memang  serasi dengan bayi,” ujar Shuib yang mengaku sudah pandai berdisiplin di  tempat tidur kerana takut tertindih anaknya.
“Sewaktu berjauhan, saya selalu suruh isteri saya kirim mesej  bergambar melalui telefon Blackberry. Sengaja kadangkala saya suruh  Sarah nangiskan dia agar saya dapat dengar suara Uwais,” akui Shuib yang  sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Mamat Khalid, sutradara yang  memang sudah lama menjadi idamannya.
Uwais yang duduk di sebelah mengangguk-angguk seakan-akan faham.  Sambung Sarah, hidupnya kini berbeza selepas mendapat cahayamata. Kini  kalau perlu bekerja di luar, dibawanya Uwais sekali kerana dia tidak  mahu berjauhan dengan anaknya.
Bercerita tentang topik kerja, pasangan ini sudah keluar dengan  sebuah single duet yang bertajuk Cinta Itu Nyawa nukilan Aidit Alfian  yang dilancarkan pada bulan Februari.
“Lagu ini sebenarnya dicipta sebelum kahwin. Waktu itu Sarah memang  sedang mencari single untuk dirinya. Saya terdengar lagu ini dan saya  sukakan liriknya yang seperti cerita tentang kami berdua. Waktu mahu  nikah, saya cakap dengan Aidit yang saya nak pinjam lagu itu untuk  pasang masa majlis pernikahan kami. Kami rakamkan lagu itu, Aidit main  gitar dan saya nyanyi tetapi tidak jadi dipasang. Bila Mujahid Universal  dengar, dia rasa lagu itu sesuai jadi lagu duet saya dan Sarah,” terang  Shuib yang mengambil masa lama untuk merakamkan lagu tersebut kerana  terkena ‘sawan studio’.
“Lagu Cinta Itu Nyawa dirakamkan waktu saya hamil tujuh bulan. Besar  pengertian lagu ini buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah  menyanyikan lagu yang ada kena mengena dengan diri sendiri. Lagu ini  benar dan memang kisah hidup Sara,” ujar Sarah tentang lagu itu yang  kini sudah diputarkan di radio Hot FM dan Suria FM.
Kata Sarah, selepas dua bulan lebih melahirkan Uwais, dia masih belum  memiliki keberanian untuk muncul di atas pentas. Dakwa Sarah,  fizikalnya kini merimaskan.
“Juan (PR Universal) yang pujuk dan bagi semangat agar saya berani  berhadapan dengan media,” ujar Sara sambil disambut tawa Shuib yang  berasakan fizikal isterinya okey dan tidak gemuk.
Mengaku sangat senang dan suka bekerjasama dengan suaminya, akui  Sarah, mereka berdua perlu mencabangkan kerjaya seni seperti sediakala.
“Sekarang kami memang sibuk mempromosikan single duet ini. Selain itu  kami juga turut berlakon dalam filem Man Sewel Datang KL. Sarah akan  keluar dengan single solo selepas ini. Shuib juga akan keluar dengan dua  buah lagu bersama Sepahtu bertajuk Siapa Dapat Lisa dan Tak Tipu,” ujar  Shuib.