KUALA LUMPUR – Drama terbaru, Ape Celop karya pengarah drama dan filem popular, Ahmad Idham menimbulkan cakap-cakap kurang enak apabila ada pihak-pihak mendakwa pengarah itu telah menghina agama Islam.
Idham meluahkan rasa kesal dan kecewanya apabila niat dia untuk memberikan mesej terbaik mengenai Islam di salah ertikan oleh beberapa pihak yang memandang usaha murninya itu memartabatkan beberapa kalimah Allah seperti Alhamdulillah, Astaghfirullah A’lazim, Subhanallah dan sebagainya dalam drama itu sebagai caturan permainan.
“Saya tidak faham mengapa ada pihak boleh mengatakan saya menghina agama saya kerana penggunaan kalimah tersebut dalam Apa Celop.
“Hanya kerana watak mat rempit yang mengucapkan kata-kata itu, terus saya dituduh menghina Islam, ia membuatkan saya berasa sedih,” kata Idham yang dipetik dari laman web mStar Online.
Selain itu, Idham juga terkena tempias apabila ‘keburukannya’ menggunakan kalimah Allah turut diperkatakan dalam laman sosial yang menuduhnya mempersendakan Islam apabila ungkapan itu diucapkan oleh seorang watak mat rempit dalam drama itu.
Bagi Idham, tiada masalah untuk dia menggunakan ungkapan kalimah itu dan beranggapan masyarakat seharusnya melihat perkara itu dari sudut yang positif tentang membudayakan elemen Islam yang semakin jauh dari masyarakat ketika ini.
Malah, niatnya menggunakan kalimah Allah itu secara kerap dalam Apa Celop lebih kepada mendidik golongan muda dan kanak-kanak tentang terdapatnya cara-cara sebenar untuk mengikut ajaran Islam dan tidak mudah untuk mejatuhkan hukuman lebih awal.
“Jika dilihat hari ini golongan remaja dan kanak-kanak lebih terbiasa dengan ucapan seperti Oh My God, Oh!Damn dan sebagainya selain tidak lagi menggunakan kata-kata Ya Allah Ya Tuhan Ku, Alhamdulilah, Astagfirullah A’lazim dan sebagainya.
“Sepatutnya orang yang mengecam itu kena kaji balik dan tidak cepat menuduh dan mengatakan saya menghina Islam,” katanya.
Apa Celop menemui penonton TV3 pada setiap Isnin dan telah memulakan siaran pertamanya pada 20 Februari lalu.
Drama bersiri 13 episod tersebut merupakan cetusan idea Idham yang bertindak sebagai pengarahnya manakala skrip ditulis oleh Meor Shariman yang memaparkan pelbagai dilema dan masalah pelumba-pelumba haram yang menjalani kehidupan mereka di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment