PETALING JAYA: Ketika kebimbangan mengenai virus kencing tikus, pelakon Almy Nadia pula mendakwa dirinya terkena air kencing puntianak sewaktu penggambaran drama Cinta Buat Emelda sehingga membuatkan wajahnya bengkak dan menggerutu.
Almy berkata, insiden itu berlaku apabila dia melakonkan babak dikafankan dan selepas mencuci solekan pada wajahnya, pelakon itu terkejut wajahnya terus berubah.
“Ketika itu saya pun takut nak tengok muka sendiri. Sehinggakan, pengarahnya, Bob Ismail meminta saya berehat selama seminggu dan buat rawatan secara tradisional.
“Selepas itu, saya terus ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan dan agak terkejut apabila ustazah yang merawat saya itu memberitahu muka saya terkena “air kencing puntianak”.
“Mungkin ada benda yang saya tersilap kot ketika melakonkan babak tersebut,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Bagaimanapun, tambah Almy, ustazah berkenaan memintanya untuk berfikiran positif dengan menganggap insiden tersebut berlaku mungkin kerana kain kafan yang digunakan untuk adegan dalam drama itu kotor dan mempunyai hama.
Tidak cukup dengan itu, selepas seminggu wajahnya kembali normal, Almy sekali lagi ditimpa malang apabila kakinya pula membengkak ketika menjalani penggambaran drama yang sama pada minggu lalu.
“Saya tak tahulah, lepas satu, satu kejadian yang menimpa diri. Tetapi selepas mendapat rawatan di klinik, doktor berkata yang saya terlalu banyak bekerja dan terlalu lama berdiri dengan kasut tinggi. Alhamdulillah, sekarang ini saya rasa sihat sedikit. Nasib baiklah pihak kru produksi memahami dengan situasi saya yang macam-macam ini,” selorohnya.
Ditanya, adakah dirinya masih lagi diganggu makhluk halus seperti yang pernah dilaluinya tiga tahun lalu, Almy bersyukur, dia tidak lagi mempunyai masalah itu.
“Alhamdulillah, saya dah tak diganggu seperti dulu dan saya harap benda itu tidak lagi mengacau hidup saya lagi,” ujar kekasih kepada aktor Fizz Fairuz itu.
No comments:
Post a Comment