JUARA bertahan, Manchester United berjaya merampas tangga teratas Liga Perdana Inggeri s selepas menundukkan Liverpool 2-1 pada aksi panas di Old Trafford, malam tadi yang menyaksikan penyerang Liverpool, Luis Suarez enggan bersalam dengan kapten United, Patrice Evra sebelum perlawanan.
Wayne Rooney meledak dua gol buat United pada minit ke-47 dan 50 manakala gol saguhati Liverpool dijaringkan Suarez pada minit ke-80.
Namun pengurus United, Alex Ferguson menganggap Suarez tidak layak lagi untuk menyarung jersi Liverpool selepas ini berikutan tindakan terbarunya terhadap Evra itu.
“Saya tidak dapat mempercayainya. Saya sudah berbicara dengan Evra pagi tadi (semalam) dan dia bersedia untuk bersalaman dengan Suarez tetapi malangnya Suarez pula enggan. Dia memalukan Liverpool dan tak patut dibenarkan beraksi lagi untuk Liverpool,” kata Ferguson.
United kini mengumpul 58 mata, hanya satu mata mengatasi City yang mampu memintas semula kedudukan teratas itu jika berjaya seri atau menang ke atas Aston Villa pada aksi di tempat lawan, malam ini (sepak mula jam 12 tengah malam).
Tottenham pula terus kukuh di tangga ketiga dengan 53 mata selepas mudah membelasah Newcastle di laman sendiri hasil jaringan Benoit Assou-Ekotto (4), Louis Saha (6 & 20), Niko Kranjcar (34) dan Emmanuel Adebayor (64).
Arsenal naik ke tangga keempat dengan 43 mata selepas menewaskan Sunderland 2-1 di tempat lawan. Biarpun ketinggalan menerusi jaringan James McClean (70), Arsenal bangkit dengan dua gol hasil jaringan Aaron Ramsey (75) dan Thierry Henry (90).
Chelsea turun ke tangga kelima selepas mereka tewas 0-2 kepada Everton di tempat lawan menerusi jaringan Steven Pienaar (5) dan Denis Stracqualursi (71).
Empat baki perlawanan lain menyaksikan Blackburn menewaskan QPR 3-2, Bolton tewas 1-2 kepada Wigan, Fulham menewaskan Stoke 2-1 dan Swansea tewas 2-3 kepada Norwich.
No comments:
Post a Comment